MADMIE | PHOTOGRAPHER, FILMMAKER
COLORING SINCE 2010
round minus
round plus

Videography - Selamatkan Cinta


Apabila dakwah menjadi kelas kedua dan ketiga. Apa yang menjadi kelas pertama? Dunia dan seisinya.

Apabila al-Quran dan as-Sunnah menjadi perlembagaan yang ditinggalkan. Apa yang sukar ditinggalkan? Hedonisme, jahiliyyah dan seumpamanya.

Selamatkah? Selamatkah? Selamatkah?


[From The Desk of Madmie]
Bismillahirahmanirahim.

Untuk cinta kerana Cinta,
       
        Tahniah kepada anda yang telah menonton video pendek “Selamatkan Cinta”. Setiap orang mempunyai cinta dalam hidupnya. Ibu-bapanya, adik beradiknya, kawan-kawannya atau pasangannya. Dan tiada yang lebih membahagiakan dari melihat mereka merasa bahagia. Namun hakikat memberi kebahagiaan itu bukanlah  hanya  terletak  pada ucapan "Aku sayang, aku cinta" atau bukanlah hanya terletak kepada nilai material yang mampu kita berikan kepada mereka semata-mata. 

        Kita hidup di dunia sebagai orang tumpangan, bermakna dunia bukanlah tempat untuk kita sewenang-wenangnya mencipta peraturan sendiri. Seperti mana tuan rumah yang kurang senang dengan perilaku tetamunya yang melampaui batas, seperti itu jugalah kita sebagai orang tumpangan di muka bumi ini tertakluk kepada peraturan dan hukum penciptanya. Allah yang Maha Pengasih tidak menjadikan peraturan untuk menyulitkan hambaNya, hikmahnya mungkin kabur pada pandangan kita, tetapi Allah yang mencipta makhlukNya sudah tentu lebih mengenali, lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”  [Al-Baqarah:216]

        Manusia yang memegang amanah sebagai khalifah dan abid bukan sahaja sepatutnya mempunyai misi untuk menyelamatkan diri sendiri, tetapi turut juga perlu menyelamat mereka di sekelilingnya dari murkaNya dan nerakaNya. Seperti mana jikalau rumah kita dalam kebakaran, selain menyelamatkan diri, sudah tentunya kita akan turut sama bertungkus-lumus menyelamatkan orang tersayang dari turut terbakar sama. Sebenarnya, tujuan kita menyelamatkan mereka itu, untuk menyelamatan diri kita juga di mahkamah Allah di akhirat nanti. Kita digambarkan dalam Quran bahawa pada hari itu seseorang itu lari dari keluarganya dan menjadi musuh kepada sahabat karibnya sendiri. Semuanya kerana mengabaikan dan memandang ringan akan tanggungjawab ini.

        Ada juga manusia yang beralasan tidak cukup takungan ilmu untuk menyampaikan, atau takut dipandang 'bajet' atau 'alim'. Ironinya manusia itu jikalau hampir muflis atau papa, pasti akan berhempas-pulas mencari wang, hatta terpaksa menebal muka sekalipun kerana risau tiada makanan untuk dimakannya atau tiada tempat berteduh untuknya pada keesokan hari. Tetapi mengetahui implikasi tentang kedahsyatan hari kebangkitan akibat meninggalkan tanggungjawab ini tidak pula dilihat sebagai suatu urgensi. Ini satu pemikiran yang berjangka pendek lagi songsang. Walhal dakwah itu sebenarnya mudah. Akhlak yang baik itu dakwah, menunjuk teladan yang baik kepada orang lain juga dakwah.
Buat penonton yang budiman, 

        Mesej utama video ini bukanlah untuk menyelamatkan mereka di sekeliling kita dengan hanya menyuruh itu dan melarang ini tanpa kefahaman. Kerana ad-deen itu bukanlah hanya berada dalam lingkungan hukum-hakam sahaja, ad-deen itu bukan tentang soal haram, halal, makruh, harus, sunat, wajib, sah dan batal sahaja. Selain feqah, dalam Islam juga ada aqidah dan juga akhlak. Tanpa memahamkan manusia kepada penciptanya, kepada iman dan kepada hari akhirat, mereka hanya akan melihat hukum-hakam itu sebagai beban dan kongkongan walaupun hakikatnya bukan begitu. Fahamkan mereka. Begitulah bagaimana Rasulullah s.a.w mula-mula mentarbiyyah para sahabat, aqidah ditekan dahulu, apabila tertanamnya iman turunlah sebanyak mana hukum-hakam pun kemudiannya, ketaatan itu datang dengan sendirinya.

        Ayuh bahagiakan mereka, di dunia, dan untuk selama-lamanya juga! Ayuh #selamatkan #cinta!

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?” [Fussilat: 33]

Love,
Ahmad Zulhilmi Sobri
Founder, CEO of Madmie & Co.


0 comments: